Wednesday, 13 July 2011

Yakinilah alam ghaib dan penyaksiannya

 Ketahuilah zahir dan batin, semuanya  dalam genggaman Allah S.w.t...

Luqman Al-hakim pernah berpesan kepada anaknya...


Firman Allah S.w.t (maksudnya): 

Wahai anakku, sesungguhnya jika  ada sesuatu perkara seberat biji sawi sekalipun, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, tetap akan dibawa oleh Allah S.w.t (untuk dihakimi dan dibalas-Nya), kerana sesungguhnya Allah S.w.t Maha Halus pengetahuan-Nya lagi Maha Meliputi segala yang tersembunyi. 
(Qs Luqman :16)

Menurut Imam Al-Qurtubi:

"Luqman ingin menegaskan kepada anaknya tentang kekuasaan Allah S.w.t. Ini kerana diumpamakan berat biji sawi tidak dapat diukur  dengan rasa dan timbangan. Untuk itu...tidaklah  perlu bimbang dan gusar terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.w.t terutama melibatkan rezeki, sehinggakan mengabaikan kewajipan dan tidak mengikut contoh tauladan mereka yang telah kembali kepada Allah S.w.t."

Bertepatan dengan Sabda Nabi S.a.w:

"Janganlah kamu bersusah hati(terhadap apa yang engkau kehendaki pada urusan dunia dan akhirat), apa yang telah ditakdirkan,tetap akan berlaku dan apa yang ditetapkan ganjaran untuk engkau tetap akan datang. (Riwayat Abdullah Ibn Mas'ud, Tafsir al-Qurtubi)

Begitu juga, tidak akan terlepas atau tersembunyi dari pandangan dan kekuasaan Allah S.w.t setiap kebaikan dan kejahatan yang terhimpun selama ini. Walaupun sekecil biji sawi dilautan dalam, nescaya tidak akan terlepas daripada dihisab dan dihitung oleh Allah S.w.t kelak.

Allah S.w.t akan menzahirkan kebaikan dan kesalahan itu pada hari yang tidak ada satu tutupan atau lindungan pun bagi-Nya. 

Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada ilmu-Nya dan tidak  terlindung sesuatu pun dilangit dan dibumi melainkan ilmu-ilmunya meliputi keseluruhannya.

Apabila bisikan hati mendorong untuk meninggalkan suatu kebaikan atau melakukan kejahatan, Rasulullah S.a.w telah berpesan supaya jangan diikuti ajakan sebegini, agar tidak terpedaya dan tenggelam dengan imaginasi dan khayalan sendiri. Lantaran banyaknya dosa dan kesalahan yang telh dilakukan, kita perlu kembali kepada Allah S.w.t. Mencari petunjuk dan hidayah untuk kembali kepadaNya.

Sama-samalah kita bertaqarrub kepadaNya dan ukurlah dengan neraca Taqwa, pada setiap perbuatan  lahiriah dan bisikan batiniah dengan menghayati maksud "Maiyatullah" iaitu setia bersama Allah S.w.t.

"Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui (sekecil-kecil sesuatu) dan maha mengetahui(akan keadaan sesuatu)"

al-Latif, iaitu tidak terlindung sesuatu pun daripada pengetahuanNya, 

Al-Khabir iaitu mengetahui walaupun seekor semut pada waktu  malam yang gelap gelita. 

Yakinilah~~~

Sumber: Pesanan-pesanan Luqman al-Hakim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...