Sunday 15 May 2011

Memaafkan ketika mampu membalas~~


Wahai diri..Di saat engkau memberikan kemaafan kepada saudaramu yang telah merobek perasaanmu, menggugat iman didadamu, menghancurkan hatimu disaat itulah engkau berada ditahap yang paling tinggi didalam sejarah kehidupanmu sebagai manusia...

Allah S.w.t berfirman dalam Hadits Qudsi:
Nabi Musa telah bertanya kepada ALLAH S.w.t:  "Ya Rabbi! Siapakah di antara hambaMu yang lebih mulia menurut pandanganMu?

" ALLAH S.w.t berfirman: "Ialah orang yang apabila berkuasa (menguasai musuhnya), dapat segera memaafkan". (Hadith Qudsi Riwayat  Kharaithi dari Abu Hurairah R.A)

Memaafkan dan menjadi pemaaf
Ketika  kita diciptakan, Allah S.w.t  juga  meresapkan pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri kita yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antaranya terdapat dalam diri kita  sifat pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Menjadi pemaaf  adalah satu sifat yang luhur, sifat yang digalakkan didalam ajaran islam… Namun, diakui  bukanlah satu perbuatan yang  mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Firman Allah S.w.t yang bermaksud: “..Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (QS Asy-Syura: 43).

Sikap pemarah yang menjadi lawannya sentiasa berusaha untuk menidakkan wujudnya  sifat pemaaf dalam diri kita. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri. Ditambah lagi manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.


Bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal. Apa salahnya ketika situasi ini…dikawal perasaan, merendah diri, mengingati Allah dan berilah kemaafan…

Iman dan takwalah yang  menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan dan nafsu pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri. Tambahan pula, emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri…Na’uzubillah..
Sebagaimana Sabda Rasulullah;

Ada tiga hal yang apabila dilakukan akan dilindungi ALLAH dalam pemeliharaanNya, ditaburi rahmatNya, dan dimasukkanNya ke dalam syurgaNya iaitu: Apabila diberi ia berterima kasih,apabila berkuasa ia suka memaafkan dan apabila marah ia menahan diri(tak jadi marah).(Riwayat  Hakim dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)

Sifat pemaaf akan lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. kita perlu selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah iaitu hilangkan sifat marah. Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri kita terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf akan sentiasa berkeadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan. Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Mencontohi  Sifat Rasulullah S.a.w  seorang yang pemaaf…
Sesungguhnya Rasulullah S.a.w merupakan Uswahtun Hassanah iaitu ikutan atau contoh tauladan yang terbaik bagi seluruh manusia dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah S.w.t, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan peribadi serta siasah pentadbiran dan sebagainya. Ini telah dijelaskan di dalam firman Allah maksudnya;

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang."

Rasulullah S.a.w  adalah sebaik-baik contoh ikutan. Antara contoh keperibadian yang tinggi pada Baginda adalah sifat pemaaf  Baginda. Sifat pemaaf yang ditunjukkan oleh  Baginda Rasulullah S.a.w menunjukkan Baginda  bukanlah seorang pendendam dan Baginda tidak membalas apabila dianiaya. Ini terbukti dalam sejarah apabila orang Ta'if dari kabilah Syakif pernah menghalau dengan kasar sambil melempar  batu ke arah Baginda S.a.w  tetapi semua itu dihadapi dengan sabar bahkan Rasulullah S.a.w memaafkan mereka. Begitu juga kisah Baginda memaafkan perempuan Yahudi yang meletakkan racun pada hidangan (daging kambing) yang dihidangkannya kepada Baginda S.a.w.


Firman Allah S.w.t dalam Surah Ali 'Imran ayat 159, tafsirnya :
"Maka dengan sebab rahmat yang melimpah- limpah dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu dan pohonlah ampun bagi mereka."

Dalam peristiwa  peperangan Uhud, Rasulullah S.a.w mendapat luka pada muka dan juga patah beberapa giginya. Berkata salah seorang sahabat: "Cubalah Tuan Berdoa agar mereka celaka". Rasulullah S.a.w menjawab: "Aku tidak diutuskan untuk melaknat seseorang,tetapi aku diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan sebagai rahmat". Lalu beliau menadah tangannya kepada ALLAH Yang Maha Mulia dan berdoa:"Ya ALLAH, Ampunilah kaumku kerana mereka tidak mengetahui."

Pernah diriwayatkan oleh Ibn Ishaq, bahawa Umayr Bin Wahb Al-Jumahi - iaitu seorang Musyrikin Quraisy - telah bertolak ke Madinah untuk berjumpa Rasulullah S.a.w beserta dengan pedang yang telah diasah dan diletakkan racun. Setibanya di sana, Rasulullah S.a.w  telah bertanya kepadanya: “Apakah tujuanmu datang ke mari, hai Umayr?” Jawabnya: “Aku datang kerana tawanan ini yang berada di tanganmu, maka tolonglah melayaninya dengan baik.” Nabi bertanya lagi: “Tetapi mengapa kamu sangkutkan pedang di lehermu?”  Umayr menjawab: “Apakah kita semua tidak perlu sedikitpun pada pedang?” Baginda bersabda lagi: “Bercakap benarlah kepadaku, mengapa engkau ke mari? Umayr menjawab: Aku tidak ada tujuan lain kecuali itu sahaja.” Baginda kemudiannya bersabda: Bukankah kamu pernah berkata kepada Safwan Bin Umayyah di sisi Kaabah, kalaulah tidak kerana aku mempunyai hutang, dan tanggungan yang perlu ku sara, nescaya aku akan keluar untuk membunuh Muhammad. Kemudian Safwan melunaskan hutangmu dan tanggunganmu dengan syarat kamu membunuhku dan Allah yang menjadi penghalang antaraku dan rancanganmu itu.” Mendengarkan ini, hati Umayr menjadi lembut dan terpanggil untuk mengucapkan syahadah dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Lihatlah betapa mulianya akhlak Baginda, dengan kekuasaan yang ada pada diri Baginda, tentu sekali mudah sahaja bagi Baginda membalas perbuatan khianat Umayr. Namun, sikap pemaaf Baginda menghindarinya daripada berlaku demikian. Terdapat juga keadaan di mana Baginda menzahirkan ketegasannya seperti sabda Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina ‘Aisyah r.a. yang bermaksud: “Demi Allah, Baginda tidak pernah membalas (yakni perbuatan buruk seseorang) kerana urusan peribadi yang Baginda hadapi, kecuali jika kehormatan Allah dilanggar, maka Baginda akan marah kerana Allah.” (Hadith riwayat Imam Bukhari.)
Pekerti mulia yang ditunjukkan baginda yang tidak pernah membalas segala kelakuan buruk terhadapnya, dan bersikap pemaaf kepada umatnya merupakan sifat yang terpuji dan menjadi contoh tauladan. Malah, Baginda s.a.w. tetap berterusan mempamerkan akhlak mulia kepada mereka dan sentiasa berdoa agar Allah s.w.t. memberikan hidayah kepada mereka.  Rasulullah juga sentiasa memesan kepada umatnya supaya bersifat pemaaf. 

Bersabda Nabi SAW. Kepada Uqbah bin Amir R.A: "Wahai Uqbah! Maukah engkau ku beritahu budi pekerti ahli dunia dan akhirat yg paling utama? Yaitu: Melakukan silaturahim(Menghubungkan kekeluargaan dengan org yg telah memutuskannya),memberi pada orang yg tidak pernah memberimu dan memaafkan org yg pernah menganiayamu)
(Ihya Ulumuddin 111; Hal 158)

Rasulullah saw pernah bercerita kepada Anas bin Malik Ra seraya tersenyum dan menangis kerana keagongan kuasa ALLAH S.w.t.

Ceritanya ialah tentang dua orang sahabat yang berada di padang masyar sedang bertelagah, setiap dari mereka menuntut agar dosa mereka diambil oleh sahabat yang telah menzaliminya,sedangkan pahala yang dimiliki oleh sahabat yang menzaliminya itu tidak cukup untuk menampung dosanya sendiri dan ketika itulah ALLAH S.w.t memperlihatkan sebuah mahligai tersergam indah di dalam jannah:

"Tidakkah kamu melihat mahligai yang tersergam indah ini?" Ujar ALLAH S.w.t kepada sahabat yang sedang bertelagah di depan ALLAH S.w.t  untuk menuntut keadilan terhadap sahabatnya.
 "Ya, kami nampak sebuah mahligai yang diperbuat dari emas dan dikelilingi oleh taman yang diperbuat dari perak. Milik siapakah mahligai ini ?. Pastinya untuk para nabi atau syuhada atau para sadiqin",jawab kedua sahabat tadi.

 "Mahligai indah ini untuk sesiapa sahaja asalkan mereka sanggup membayar harganya,kamu juga berpeluang memilikinya jika kamu sanggup membayar
harganya",jelas ALLAH S.w.t

"Bagaimanakah kami dapat membayarnya sedangkan kami tidak mempunyai apa-apapun yang kami bawa ke sini untuk membeli mahligai emas ini", kata kedua sahabat ini.
 
"Kamu masih memiliki sesuatu yang sangat sangat berharga iaitu KEMAAFAN terhadap sahabat yang telah menzalimimu malahan kamu boleh membawa sekali sahabatmu ke dalam mahligai emasmu ini",ujar ALLAH S.w.t. Dengan perasaan yang amat gembira sahabat itu berkata "Ya ALLAH aku sanggup memaafkan apa sahaja kesalahan orang terhadapku jika ganjaran yang kudapat adalah amat besar".
     
Alangkah baiknya jika semua manusia tahu perlunya sifat tolenrasi dan pemaaf terhadap sesama manusia kerana sifat pemaaf itu akan mendatangkan kebaikan kepada dirinya sendiri dan kepada orang yang dimaafkannya.

Memaafkan kesalahan orang yang dilakukan ke atas kita bererti menolong orang itu dari beban dosanya, ganjaran dan rahmat ALLAH S.w.t adalah amat besar keatas kita seperti mana sabda Rasulullah S.a.w;


"Sesungguhnya ALLAH S.w.t  tidak menyayangi kecuali kepada hambanya yang penyayang, tidak mengampunkan kecuali kepada hambanya yang pengampun dan tidak menerima taubat kecuali kepada hambanya yang pemaaf".


Sesungguhnya janji ALLAH S.w.t  itu adalah benar…Oleh itu jangan tunggu lagi wahai sahabat sekalian, marilah kita memaafkan sesiapa sahaja yang telah menyakitkan hati kita kerana KEMAAFAN itu akan memberikan kecerian dan ketenangan kehidupan kedunian kita disamping mendapat ganjaran yang amat besar diakhirat.

YA ALLAH, Kurniakanlah kami sifat pemaaf, pengampun dan lapang dada.YA ALLAH, Jadikanlah kami org yang dapat menahan diri dari meluapnya kemarahan dan jadikanlah kami orang yang suka memaafkan yang lain.  Astaghfirullahal azhim allazi la ila ha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih... Lahaw La Wala Quw Wa Ta IL La Billah Hil Aliyul Azim...


Sumber:
Koleksi Hadith qudsi
Mencontohi akhlak Rasulullah
Sifat pemaaf bersihkan hati, tenangkan jiwa

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...